20200214

SEUKIR SENYUMAN

Seukir senyuman mampu menghijab gelodak emosi. Datang dengan ribuan tafsiran yang mungkin bawa pelbagai erti.

Seukir senyuman mungkin refleksi kedamaian jiwa. Namun mungkin juga sekadar topeng sembunyi lara.

Kerana memakai topeng senyuman jauh lebih mudah dari cuba menjelaskan mengapa hati ini berasa sedih dan hiba.

20200212

BAHAGIA YANG UTAMA

Pak tua menasihatkan,
Walau dimomok kefakiran,
Diugut seribu keaiban,
Atau terpinggir tanpa teman,
Tetap utamakan bahagia.

Walau redah jalan likuan,
Yang berturap paradigma murahan,
Sesak dengan hon-hon kejumudan,
Tetap utamakan bahagia.

Umpama menyusur jalan vertikal dalam arus horizontal, pastinya berlaku konflik akal dan spiritual.

Namun yang penting....

Tetap utamakan bahagia.

20200126

MAIN PONDOK

Anak kecil main pondok,
Jadi anak, jadi ayah, jadi atok,

Jadi si kaya, jadi si miskin,
Jadi pengikut, jadi pemimpin,

Jadi polis, jadi pencuri, 
Jadi itu dan jadi ini.

Namun bila senja datang,
Anak kecil dipanggil pulang,
Musnah maya dirangkul realiti,
Segala 'jadi' ternyata mimpi.

Kematangan bawa kesedaran,
Bahawa umur secebis ini,
Dengan segala babak penceritaan,
Hanya sekadar fiksyen fantasi.

Kesedaran bawa pembebasan,
Dari illusi harta dan kemegahan,
Dari penjara watak dan peranan,
Dalam pondok dipanggil kehidupan.


20200121

DUIT & KEBAHAGIAAN

Pak tua berkata,
Duit hanyalah angka,
Dan angka tidak punya penghujung.

Jika bahagiamu letak pada duit,
Maka kebahagian yang kau kejar,
Tidak akan punya penghujung.

Justeru pegang kebahagiaan dihati,
Jadi peneman hingga mati.

Manakala pegang duit ditangan,
Mudah untuk kau uruskan.

Hadir petaka sahsiah budi bila duit dan kebahagian bertukar tempat. Duit dihati memakan diri. Kebahagiaan ditangan terlepas lari.

20200120

FORMAT KOMPUTER DIRI

Cuba format komputer diri,
Upgrade software hati dan budi,
Delete semua document silam,
Mengusir segala virus dan spam.

Cuba format komputer diri,
Install segala program transformasi,
Bersih skrin monitor fikiran,
Biar hilang debu sesalan.

Cuba format komputer diri,
Selagi CPU tidak berhenti.
Walau sudah berulang kali,
Di hack virus melankoli.

20200115

PENGAJARAN DIRI

Perkara yang BOLEH diubah,
Mengajar diri jangan mengalah.

Perkara yang TAK BOLEH diubah,
Mengajar diri redha dan pasrah.

Perkara yang TAK PASTI,
Mengajar diri fikir dan teliti.

Moga pengajaran diri,
Bisa menemani,
Setiap denyut nadi,
Hingga nafas terhenti.
  

20200113

SECANGKIR KETENANGAN

Dendam dibuang,
Sejauh mata memandang,
Tanpa sisa dan bayang-bayang,
Hilang bersama lara dan walang.

Maaf dihamparkan,
Seluas darat dan lautan,
Demi hati mendambakan,
Secangkir ketenangan.

20200111

AWAN BERARAK

Kehidupan umpama awan,
Sentiasa berarak walau perlahan,
Bergumpal jadi pengalaman.

Yang itu telah berlalu,
Yang ini juga pasti akan berlalu,
Ditiup bayu waktu.

Kehidupan yang sebentar,
Beza tipis palsu dan benar,
Menanti bunga bahagia mekar,
Berharap selagi bumi berputar.

20200109

SEBOTOL WAKTU

Aku teguk sebotol waktu,
Mereda dendam dahulu,
Mencair harapan beku,
Menghapus sejuta sendu.

Benar kata orang,
Waktu merawat luka.
Namun parut takkan hilang,
Kekal kehujung nyawa.


20200104

MURAL

Warna-warna kehidupan yang datang silih berganti, dari hari kehari, dari tahun ke tahun, kini semuanya terpamir di dinding memori.

Menjadi mural pelbagai warna.

Menjadi mural pelbagai corak.

Mural yang dipanggil pengalaman.

20191209

DIAM

Diamku bermaksud,
Aku sudah lelah dalam pertarungan minda,
Penat untuk memberi alasan dan penjelasan,
Letih berpura tersenyum & ketawa,
Lesu dimanipulasi drama manusia.

Diamku bererti,
Aku sedang beradaptasi dengan kesunyian,
Aku sedang belajar redha dengan situasi,
Aku sedang cuba untuk sembuh dari segala luka semalam.

Aku harap dunia bisa senyap seketika,
Supaya aku mampu untuk terus diam.

20191206

MEMORI YANG PARADOKS

Memori adakalanya menjadi paradoks.

Terkadang ia membuat aku tersenyum mengingati saat aku jatuh suatu masa dahulu.

Namun terkadang ia membuat aku pilu mengingati saat aku bahagia suatu masa dahulu.

Saat yang dulunya manis & indah kini menjadi memori toksik dan beracun. 

Toksik yang menyesak dada. 

Racun yang menyiksa jiwa.


20191121

BLUETICK

Sometimes,
Diam tak bermaksud benci,
Senyap tak bererti menafikan,
Sunyi tak bermakna hilang.

Cuma sometimes menutup mulut lebih baik dari berkata sesuatu yang tak pasti.

Dan sometimes,
Mulut kelu membukam,
Lantaran lelahnya hati,
Untuk menghadapi drama insani.


20191117

CITRA HATI

Kesilapan yang membuat kita tersungkur jatuh, jauh lebih baik dari kejayaan yang membuat kita mendabik dada.

Yang penting selepas jatuh, kita bangun, pandang ke depan dan move on.

Hati ikhlas yang mendengar, lebih baik dari akal bijak yang menasihati. 

Namun akal bijak yang menasihati, jauh lebih baik dari sindiran yang menyakitkan.

Hidup yang sekumit waktu, namun bernilai infiniti. Biar bergelumang lumpur pada persepsi orang, asalkan dihati bersinar authenticity dan keluhuran budi.




20191109

KEJUJURAN YANG MITOS

Mulut mereka berkumat mahukan kejujuran. Namun realitinya mereka dambakan penipuan manis berbanding kejujuran yang transparent. 

Mereka rela di scam, ditipu, dibohongi asalkan dapat mendengar apa yang mereka mahukan.

Dalam dunia bersalut pembongakkan politik dan manipulasi media, kejujuran sudah mula hilang nilai.

Mungkin satu hari nanti, kejujuran menjadi sekadar mitos. Sekadar cereka dalam buku dongeng dan kitab lama.

PS:
Perlukah aku menipu untuk menjaga hati orang lain? Aku tak pasti.. Yang pasti hati aku sendiri aku tak mampu nak jaga.

20191104

CAHAYA METAMORFOSIS

Dalam kelam gua hati,
Muncul sekelumit cahaya seri, 
Nun di kejauhan ia menari,
Bagai indah susuk bidadari.

Moga itulah ia cahaya mentari,
Yang bisa bawaku keluar dari sini,
Gua gelap penuh duri dan depresi.

Moga itu bukan sorotan ilusi,
Atau kerdipan dari kunang-kunang fantasi,
Atau sinar palsu dari mainan delusi.

Moga ini,
Dan kali ini,
Adalah cahaya metamorfosis diri.

20191024

REVERSE & PLAY

Wahai memori,

Yang sering reverse and play segala rakaman lalu bersamanya.

Aku mohon tolong berhenti. 

Kerana rakaman itu menganggu gegendang jiwaku. 

Jiwa yang cuba untuk sembuh.

Tolong...

20191023

VILLAIN YANG SEBENAR

Aku tak kisah bila kau market kan aku sebagai watak penjahat dalam fiksyen rekaanmu. 

Aku tahu kau lakukan itu semua bagi menyembunyikan fakta dan realiti apa yang sebenarnya terjadi.

Aku tahu kau lakukan itu juga untuk menipu dirimu sendiri. Kau berharap ia dapat mengurangkan beban bersalah kau bila memori lama datang menghambat.

Dan aku tahu kau lakukan itu demi meletakkan imejmu mulia dimata umum, walaupun dengan menginjak maruahku dibawah telapak kakimu.

Namun seperti awal tadi, aku tak kisah. Biarlah aku dipandang hina. Biarlah aku diumpat dikeji. Biarlah aku menjadi villain di mata mereka.

Kau boleh gambarkan aku sesuka hati kau pada dunia. 

Aku tak kisah.

Kerana aku tahu siapa aku. Dan kita sama-sama tahu siapa villain yang sebenar.


20181221

KONFLIK DALAMAN SI DEPRESSI

Jika nyawanya ibarat lampu,
Dengan switch di dinding batu,
Pasti jarinya bermain di situ,
Bersedia tekan OFF tanpa ragu.

Tapi dia berhenti,
Tekadnya goyah lantaran teringat,
Bahawa ibu bapanya pasti akan bersedih,
Jika lampu itu padam.

20180923

Soal Hati

Hati yang kelu,
Kelu yang pilu,
Pilu yang perlu.

Persoalannya "perlu" untuk apa?

Masih mencari jawapan...