20111021

Masalah

Masalah datang menyinggah menjadi tetamu tidak diundang. Kakinya ingin lari, namun hati suruh teguh berdiri. Jadi dia hadapi tetamu itu dengan akal ligat mencari solusi.

Dan apabila saat pulang sang tetamu, rupanya meninggalkan dia sesuatu, berupa ilmu dan kemahiran yang baru.

20111017

Hanya Picisan

Saban hari bersarapan dengan sesak bandaraya bersalut hingar-bingar ngauman kenderaan. Kemudian terperangkap pula di dalam kubikel kantor berdendangkan licik politik dan gosip terkini. Sakit mata, bingit telinga, tengit minda.

Namun sahabat, semuanya itu picisan jika jiwamu bertunjang semangat dan berpasak motivasi, hinggakan jelinganmu sahaja cukup membuatkan roma berdiri.

20111015

Dari Luar Pintu

Kerana benar, aku jadi berani. Tidak mungkin lagi goyah dengan permainan berbaur azali. Syarah tok dalang bersulam petikan kitab tua berbungkus manipulasi, bukan lagi momok buat aku. Rumah ideologi sempit tidak lagi menyesakkan kerana aku kini melihat dari luar pintu.

20111014

Ubat Tequila Mimpi

Walau pahit kutelan kebenaran ini,
Menjadi mujarobat penawar dari khayal tequila mimpi.
Mimpi yang bisa ranap dengan sapaan ringkas sang realiti.