20110820

Pesan sang Kenari

Wahai sang Merpati yang terbang di awangan. Berhentilah sebentar dari mengejar mimpi dan warna pelangi. Dengarkan pesan sang Kenari di balik awan. Tenangkan dirimu dari mabuk mencari. Obsesi membuatmu tertawan, namun destinasi hanya secebis ilusi. 

Namun jika ingin terbang, terbanglah mengikut arah sendiri. Tidak kiralah sekadar menikmati suria pagi atau mahu membelah langit yang tinggi. Kawan-kawanmu akan sentiasa terbang di sisi, maka jangan usir mereka pergi. 

Dan aku, sang Kenari yang sentiasa di sini. Memerhatikanmu dengan sepenuh hati. Jika kau lelah, singgahlah ke mari. Biarku belai dirimu Merpati, tanpa prajudis, tanpa rasa benci. Hanya tulus kasih yang sejati.

Loya Tekak

Ramadhan berbaki 10 hari,
Ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri,
Mula terdengar di sana sini.

Aku juga membalas ucapan,
Bukan kerana tidak sabar meninggalkan Ramadhan,
Cuma akur dengan adat dan kebiasaan,
Semarak keluarga, sahabat dan kawan.

Kemudian suara-suara sumbang mula menyemak, menyindir dengan nada yang bongkak. Mereka berkata...
"Puasa yang mulia dan seribu barokah belum habis, engkau sudah mula gila mahu beraya!?"
Jawabku..
"Wahai 'ahli syurga', tak perlu engkau menilai aku dari akal sempitmu. Puasaku dan rayaku adalah ibadat, maka aku simpan ia dalam peti rahsia. Namun ucapan hari raya adalah adat, maka aku suka mengembirakan mereka. Nyah engkau dari aku, egomu meloyakan tekakku."