20121221

Jangan Salahkan Pisau.

Pak syeikh berkata:
"Facebook agenda yahudi,
Bala akhir zaman, perosak insani.."

Er.. Syeikh...Maaf mencelah.
Jika seseorang membunuh menggunakan pisau, adakah itu salah pisau??
Maka pisau itu mahu dibicarakan? Dipenjara dan dihukum gantung?

Kita lapah daging korban pun guna pisau, syeikh..
Kita potong bawang buat kenduri doa selamat pun pakai pisau, syeikh..
Kita berkhatan zaman berzaman pun pakai pisau, syeikh..

Jangan salahkan pisau.. Bukan salah pisau ya syeikh.

20121219

Kena Gamble..

Berlari menuju destinasi yang tidak nampak nun jauh di ufuk, seakan infiniti. Adakah ia dipanggil KEBIJAKSANAAN atau KETOLOLAN?

Namun yang pasti, ia suatu KEYAKINAN. Keyakinan yang akan membuahkan kebahagian atau mungkin juga membuahkan penyesalan.

Bak kata orang, hidup ini suatu perjudian. Kena gamble..

20121218

Kisah dari Sang Debu.

Pak tua itu berkata:

Aku hanya debu kehidupan, secebis kecil partikel dari selembar sejarah insan. Tiada apa yang kau boleh ambil dari aku. Dan tiada apa yang mampu aku tinggalkan buat engkau.

Dahulu akulah tuhan, berjalan menujah langit dan menghentak bumi. Yang lain hanya semut-semut hitam yang tidak berguna.Yang bisa lumat dipijak dan dihentak.

Kini aku tahu dahulu aku mabuk akal dan budi. Dipermainkan lullaby lorong-lorong hitam, diperkudakan ego sendiri, dikotak-katik gelodak testosteron..

Pak tua itu berhenti dari berkata-kata. Hanya memandang langit yang padanya terasa semakin jauh. Jauh yang tidak mampu dikejari, dengan kudrat sesenja ini.

20121217

Utopia Negara Ini

Parti biru dan hijau bersatu?
Mungkin suatu idea yang ideal,
Namun persis idea-idea ideal yang lain,
Dikategori sebagai utopia,
Berkelompok dalam fail kemustahilan.

Mahu juga melihat keajaiban,
Namun sudah lama berhenti mengharap.

20121214

Gajah dan Harimau

Gajah Siam merembat,
Harimau Malaya tergeliat,
Lee Ming Yu guna mandat,
Layang kad merah tanpa siasat,
Penyokong pak belang terkulat-kulat,
Hingga keakhir menjadi pengat.

Tersejat harapan bersama keringat dan penat,
Telan perlahan realiti kelat di wisel penamat.

Namun jangan hilang semangat,
Kalah dan menang itulah adat.

20121212

Hancing

Hancing,
Asyik kena kencing,
Telinga menadah mulut terkancing.

Hancing,
Politik tidak pernah wangi.

20121211

Semalam, Esok & Sekarang.

Semalam Sudah,
Esok Belum Lagi,
Sekarang Masih.

Semalam Simpan,
Esok Bersedia,
Sekarang Buat Sebaik Mungkin.

Semalam Syukuri,
Esok Doa dan Harapan,
Sekarang Ikhtiar.

Semalam, Esok, dan Sekarang,
Jika bersatu tiada walang.

20121207

Musang

Lebai musang update status di Facebook,
Mengutuk si fulan si fulan,
Dengan kitab dia menohok,
Dengan langit hujan makian.

Gembira si Lebai mendapat setuju,
Lambakan like dari tetamu.

Konon bijak menunjuk belang,
Sedangkan korup hikmah terkulai
Mungkin musang tetap musang,
Walau kepala bertenggek lebai.

Logout...

20121128

Baju Noda

Baju ternoda hitam,
Cuba berus berkali-kali,
Hitam tidak hilang cuba lagi,
Dengan sabun dan air suci,
Dengan berus bergerigi,
Berkali-kali..

Dia tak pernah tahu,
Tidak pernah faham,
Bahawa baju noda itu,
Sememangnya berwarna hitam.

20120720

Impian.

Tinggalkan kekesalan serta negatif minda di RnR yang lalu.
Pandu terus mimpi indah masa hadapan,

Moga nanti di RnR seterusnya, hanya tekad dan nekad menunggu.
Jadi azimat peneman kehujung harapan dan impian.

Nanti di destinasi,
Cuma tunggu pohon mimpi berputik realiti.

20120404

Bonda

Dalam buyung bertakung kenangan,
Dia hanya si kecil yang terbaring dalam bilik kepatuhan,
Sebuah bilik yang penuh keindahan,
Menjaga dia dari segala bencana,
Yang mungkin datang dengan pelbagai rupa.

Kemudian dia mulai mampu berdiri,
Mulai merasa terkurung di dalam bilik kepatuhan,
Keindahan bertukar menjadi penjara kebebasan.
Yang telah membataskan langkah-langkahnya,
Yang telah menghalang gelodak inginkan merdeka.

Maka,
Takala dia sudah mulai mampu untuk berlari,
Penjara itu ditinggalkan tanpa sedikit sesalan,
Bilik kepatuhan? Penjara kebebasan?
Mulai luput diincit zaman.

......


Hari ini dia kembali,
Mencari sisa-sisa bilik kepatuhan,
Mencari saki-baki penjara kebebasan,
Yang kini menjadi dua nisan kaku dan sepi,
Meninggalkan sebongkah sesalan yang abadi.

20120327

Mentari Di Dalam Hati

Di sini langit mendung.
Di sini hawa mendingin.
Namun jiwanya cerah dan hangat,
Kerana mentari hatinya ada di sini.

20120324

Marathon Kehidupan

Persetankan pesaing-pesaing itu,
Persetankan mentari yang membakar kulitmu,
Persetankan juga batu-batu jalan yang terdiam kaku.

Kerana reben penamat sudah semakin dekat.

Harapan yang Mustahil

Pada langit yang tidak pernah berdusta,
Dia serahkan sebuah harapan berbentuk doa,
Doa yang tidak bisa dimakbulkan,
Lantaran larangan dan kemustahilan.

20120312

Sastera: Dari Mata Sang Picisan

Pujangga itu banyak variasinya. Ada yang berbaur klasik, ada pula yang bernaunsa segar dan baru. Ada pujangga yang mengikut jalan persuratan dan hukum bahasa. Ada pula pujangga yang berjalan sembarangan tanpa peduli itu semua.

Yang menulis mengikut jalan persuratan selalunya menjadi karyawan dan sasterawan. Yang menulis mengikut jalan sembarangan pula selalunya menjadi seniman dan picisan.

Pujangga yang tulin, tidak kira variasi apa pun, menuju destinasi yang sama iaitu mengekspresikan gelodak akal dan jiwa. Ayat-ayatnya terhambur luhur, maknanya tersusun atur, lenggoknya pula menjadi hibur.

Moga mereka kekal mengindahi tanah pertiwi ini, menjadi sinar yang tak pernah padam, bukan menjadi racun didalam diam. 

20120310

Akidah

Terpesong. Namun masih bisa dipanggil terpesong jika syiriknya kosong?

Dan kebenaran pula? Masih bisa dianggap kebenaran jika syiriknya ribuan?

Jalan ini, bukan untuk semberono ditafsiri.

20120309

Mentera

Aku seru kau motivasi, aku seru kau inspirasi, aku seru kau kreativiti!

Bersatu kamu menjadi mentera mantap, mengusir ngantukku di hadapan laptop.

Huarghhh....

Lidah Hilang Rasa

Mereka mula menjilat kata-kata 'jeneral' mereka hingga yang payau dan pahit pun dikatakan manis semuanya. Aku kira deria rasa lidah mereka mungkin sudah berkarat. Atau mungkin lidah mereka telah lama tiada, dipotong malaikat lantaran kerap berbohong.

20120308

Pendapat Yang Keliru.

Jika ada panas, ada hujan, ia umpama mendung.
Bukan di situ, bukan di sini,
Berlegar di dalam mimpi.

Jika boleh diumpamakan lagi, ia si ikan duyung.
Tidak boleh dimakan, tidak boleh dinikahi,
Berlegar antara hidup dan mati.

Seiring waktu,
Wajahnya beribu,
Tersembunyi di dalam lipatan ilmu.

20120307

Undur

Dia undur sekali lagi,
Buat sekian kali.

Namun undur kali ini,
Untuk esok nanti,
Dia bisa maju berlari.

Sibuk

Maaf, keroncong suara medan politik aku tak peduli. Walau firdausi yang kau janji, aku tak peduli.

Aku terlalu sibuk di sini. Bertawaf mengelilingi medan yang dipanggil hati.

Muntah

Mereka muntah kerana cuba minum secangkir kebijaksanaan. Mungkin perut mereka tidak lagi betah lantaran sudah terlalu biasa dengan kejahilan.

20120112

Topeng

Sekali lagi di mukabuku, melihat lontaran maki-makian kepada si fulan dan si fulan, yang mereka tidak pernah bersua muka. Bocah-bocah hingusan cuba menjadi hakim mahkamah budi.

Sekali lagi beralasan demi hukum tuhan, sedangkan realiti hanya demi totaliter ego diri. 

20120111

Marijuana

Dendang sang kiai itu di You-Tube, berkias kononnya gurindam syara'i. Sesekali menyelit lulucon dan kata sakti.

Maka bersorak seluruh jelata berjiwa kontang, yang bisa sahaja meneguk apa sahaja yang dihidang. Membuat sang kiai tersenyum riang.

Tanpa sedar, yang ditelan itu marijuana hijab ilmuan. Yang hanya mencipta seribu keliru dalam khayal dan angan.