20110830

Salam dari Baju Melayu Merah

Baju Melayu warna merah,
Dan songkok yang baruku beli,
Uniform hari raya,
Buat kali ini.

Moga esok tidak terpalit noda,
Dengan segala rendang, lodeh dan kuah kacang,
Moga ia kekal indah dan suci,
Seindah dan sesuci aidilfitri.

Baju Melayu warna merah,
Buat laraman hari lebaran,
Semarak hati seluas syahadah,
Tulus takbir mengukir senyuman.

Salam ikhlas,
Salam kemaafan,
Salam keindahan,
Dari aku buat kalian.

20110829

Kisah Sang Perokok (Bekas)

Dulu aku seorang perokok,
Tegar tak tegar,
Sekadar menjadi penyegar,
Mata mengantuk jadi bugar.

Dulu aku seorang perokok,
Yang tajam memerhati,
Kepulan-kepulan asap menari,
Hilang menuju samawi.

Lantas mengingatkan aku,
Hidup ini menuju binasa,
Dan dalam sekelip mata,
Bisa hilang dari pautan masa.

Tapi itu dulu..

Aku bukan lagi seorang perokok,
Tidak lagi peduli citra yang dibawa oleh kepulan asap,
Yang asyik mengulang kisah fana' dan lesap.

Aku tinggalkan kematian,
Dan aku kini hidup dalam kehidupan.

20110827

Tunggu...

Tunggu lagi, di sini, di sebalik PC, di sebalik FB, sekali lagi, tunggu sendiri...

Moga aku bisa mengetahui, keputusan dari takdir ilahi..

20110820

Pesan sang Kenari

Wahai sang Merpati yang terbang di awangan. Berhentilah sebentar dari mengejar mimpi dan warna pelangi. Dengarkan pesan sang Kenari di balik awan. Tenangkan dirimu dari mabuk mencari. Obsesi membuatmu tertawan, namun destinasi hanya secebis ilusi. 

Namun jika ingin terbang, terbanglah mengikut arah sendiri. Tidak kiralah sekadar menikmati suria pagi atau mahu membelah langit yang tinggi. Kawan-kawanmu akan sentiasa terbang di sisi, maka jangan usir mereka pergi. 

Dan aku, sang Kenari yang sentiasa di sini. Memerhatikanmu dengan sepenuh hati. Jika kau lelah, singgahlah ke mari. Biarku belai dirimu Merpati, tanpa prajudis, tanpa rasa benci. Hanya tulus kasih yang sejati.

Loya Tekak

Ramadhan berbaki 10 hari,
Ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri,
Mula terdengar di sana sini.

Aku juga membalas ucapan,
Bukan kerana tidak sabar meninggalkan Ramadhan,
Cuma akur dengan adat dan kebiasaan,
Semarak keluarga, sahabat dan kawan.

Kemudian suara-suara sumbang mula menyemak, menyindir dengan nada yang bongkak. Mereka berkata...
"Puasa yang mulia dan seribu barokah belum habis, engkau sudah mula gila mahu beraya!?"
Jawabku..
"Wahai 'ahli syurga', tak perlu engkau menilai aku dari akal sempitmu. Puasaku dan rayaku adalah ibadat, maka aku simpan ia dalam peti rahsia. Namun ucapan hari raya adalah adat, maka aku suka mengembirakan mereka. Nyah engkau dari aku, egomu meloyakan tekakku."