20110923

Pesan

Bersama maksud dan makna, kugaul menjadi segenggam pesanan hati. Khas untuk kamu di sana yang kukira sedang merindui.

Pesanku, hidup dengan bahaduri walau laut bergelora dengan ombak meninggi. Sehingga nanti laut itu menjadi tenang, dan mempamirkan wajahnya yang damai dan hakiki.

Kehidupan umpama komedi, maka jangan takut untuk berani.

20110917

Gerak dan Destinasi

Gerak menuju destinasi, jika kau helang, terbanglah. Jika kuda, berlarilah. Jika ikan, berenanglah. Jika ular, menyusurlah. Andai gerakmu mengikut ilmu, minat, dan keupayaan diri, kejayaan akan menjadi destinasi yang pasti.

Ya, dengan izin pemilik segala gerak.

20110915

Biasan

Alam biasan hati. Jika hati tersenyum, maka alam juga tersenyum. Andai hati membenci, alam juga membenci. Alam umpama cermin, hati umpama perlaku. Alam mengajuk kerenah sang perlaku, tanpa gagal, tanpa kompromi.

Maka hati, bersinarlah umpama matahari. Biar alam juga terbias dengan sorot cahaya, menerangi kehidupan yang sekelumit ini.

20110914

Kisah Lalu

Sekarang langit girang, mentari riang, dan awan mengamit memori yang hilang. Memori tentang kisah lalu, di waktu ego inteligensia menguasai tingkah dan laku. Korup minda menjadi batu dan jiwa menjadi beku.

Semuanya umpama lelucon kini, buat aku tersenyum sendiri, lantaran ketololan diri. Moga hari-hari mendatang membawa sejuta kedewasaan buat aku dan semua.

20110913

Penawar

Moga kata-kata indah yang kutanam hari ini, tumbuh menjadi bunga sanubari. Supaya suatu hari nanti, takala terasa sakitnya rindu mahupun benci, dapat kau petik jadikan penawar, merawat segala luka di dalam hati.

Pilihan

Setiap hari jalan yang sama, jalan yang dipanggil kehidupan. Setiap hari juga ada simpang yang sama, simpang yang dipanggil 'pilihan'; pilihan antara ceria dan duka, pilihan antara sentosa dan sengsara.

Moga kita pilih simpang ceria, kita pilih simpang sentosa.

Selagi kita punya pilihan, selagi nyawa dikandung badan.

Pelangi

Dalam hati ada pelangi,
Cukup dengan 7 warna ini,
Cukup dengan 7 seni, 7 seri dan 7 kafi,
Tanpa perlu improvasi,
Tanpa perlu testimoni.

Dalam hati ada pelangi,
Moga kekal sepanjang hari.

20110907

Diam

Kata hati berdiam diri. Maka aku pinta ia berkata, tetapi ia hanya diam..

Aku mohon,
Diam..

Aku gesa..
Diam..

Aku desak,
Masih diam..

Kemudian aku paksa,
Akhirnya ia berkata:

"Aku mahu diam"

Sumpah

Aku hanya makhluk tuhan yang biasa. Adakalanya tidak terkesan walau dihentam taufan kehidupan berkelajuan maksima. Namun adakalanya pula bisa jatuh dengan hembusan pilu bayu senja. Kononnya hidup aku menyulam cerita sendiri, sedang hakikatnya fiksyen itu telah siap tertulis sejak azali.

Maka wahai diri sejati, hari ini aku bersumpah, aku tidak mahu lagi ambil peduli.

Noktah.

Duit

Adik saudara aku berkata:
"Aku tak boleh hidup tanpa duit... Dan duit juga tak boleh hidup tanpa aku!"
Sesuatu yang menarik untuk aku renung di pagi ini.. hehe

Traffic Jam

Aggh...
Traffic jam dalam otak,
Bingit, kabut, minda sesak,

Aggh..
Betulkanlah lampu isyarat itu..
Aku mahu tahu giliran langkahku.

20110906

Semadi Akal & Fikiran

Keranda diusung,
Bersemadi di dalamnya,
Akal dan fikiran segelintir manusia,
Berkubur di dalam keegoan jiwa.
Hidup segan, mati tak mahu lantaran dosa.

.Moga kesabaran aku tidak berkubur bersama-sama keranda mereka.

Meow

Manusia,
Jangan terlalu bongkak,
Walau engkau berkuasa,
Namun mereka juga punya hak.

Moga semalam menjadi pengajaran,
Selamatkan rakan-rakan kecil kita,
Yang semakin dilupakan.

20110905

Inspirasi

Secangkir teh inspirasi,
Buat penyegar jiwa lesu,
Menjadi tonik motivasi,
Bagi kuat mengharungi waktu.

Mahu secangkir teh?
Carilah ia dari senyuman sang kekasih.

Scuba Diving

Tidak berguna ilmu setinggi langit, jika hati tidak sedalam lautan..

Namun bagaimana untuk mengetahui dalamnya lautan?

Seorang kenalan mencadangkan scuba-diving..

hehehe...

Terima Kasih Sebanyak Infiniti

Di waktu meruap mentari, kau terbang menjadi awan, teduhkan diriku dengan bayang kudsi, hingga sembuh sukma yang rawan, hingga hidup jiwa yang mati.

Di waktu banjir melanda, kau hadir menjadi bahtera, selamatlah diriku dari tenggelam, dari arus hitam dan kelam.

Dan di waktu itu, takala mereka semua begitu, kau datang mengajari, supaya aku jadi begini.

Terima kasih, terima kasih, sebanyak infiniti..

Officer In-charge

Oh, anda berpuasa enam..
Wah, solat malam juga..
Baguslah..

Tapi tak perlulah hebah-hebahkan kepada saya,
Sebab saya bukan officer in-charge yang bagi pahala.

Tanda

Hati tenang,
Bagai embun pagi,
Bagai burung bernyanyi,
Bagai awan tinggi.

Hati tenang,
Tanda engkau ada di sini.

Nada Munafik

Isnin?
Aku suka Isnin!
Permulaan bagi minggu dan tugasan,
Pengakhiran bagi cuti dan kerehatan..

Aku amat suka Isnin!

(dengan nada munafik)

Mimpi Sang Pungguk

Mimpi sang pungguk menjadi naga sakti, makhluk magika penjaga bulan. Lalu ia terbang menuju langit dengan semangat setinggi awan.

Berbatu-batu ia terbang namun bagaikan mengejar ilusi. Tebalnya awan mula mengaburi mata dan menyesakkan sanubari. Sayapnya pula semakin lemah untuk mengharungi langit yang tinggi. 

Ia masih mencuba namun akhirnya terhumban ke tanah dilempar realiti. Barulah ia sedar kemampuan diri, bukan makhluk magika dan bukan naga sakti. 

Ia seekor pungguk yang hanya layak untuk merindukan bulan. Bulan yang sesekali mengintai di balik mimpi.


20110904

Ketawa

Tawa,
Hadiah buat mereka,
Azimat buat kamu,
Penawar buat aku,
Dan cinta buat kita.

Tawa,
Itulah tanda hati ini masih hidup...

Bermain Dengan Api

Agak-agaknyalah, jika kita bermain dengan api, setiap hari tanpa henti, ada kemungkinan tak api itu menjadi jinak? hmm..

20110903

Beku Salji

Matanya kosong, persis rumah tidak berpenghuni.
Telinganya tersumbat, seperti seekor badak yang tuli,
Hatinya beku, bagaikan ditutup timbunan salji.

Bila berkata, dia memetik firman ilahi,
Bila menghukum, persis dia manusia paling suci,
Umpama syurga dan neraka, dialah yang memegang kunci.

Dia menjulang kononnya panji nabi, dia dipuja-puja fanatik berjiwa zombi, bersultan di mata beraja pula di hati. Bagai ayam berkokok berderai-derai namun ekor bergelumang tahi.

Mungkin dia tidak mengerti,
Mungkin dia tidak memahami,
Bahawa istana abadi berada tersorok,
Jauh di dalam hati...

20110902

Panggilan Malam Syawal

Syawal ke empat,
Tiada lagi semarak mercun dan bunga api,
Berganti malam damai dan sepi.

Namun Syawal masih muda,
Sumbu pelita masih menyala,
Dikobar ziarah dan rumah terbuka,
Dan anak-anak jiran menagih duit raya.

Aku, di malam yang hening ini,
Terdengar suara memecah sepi,
"Marilah makan kami!"

Rupa-rupanya seru kuih tart dari balang,
Memanggilku dengan suara meriang..

Aduhai intan aduhai sayang,
Angin malam meniup diet ku jauh-jauh dan menghilang..

Rahsia

Misteri ini,
Cuba kurungkai satu-persatu,
Rupanya jalan menuju buntu,
Inginku ketuk tiada berpintu,
Inginku masuk tiada ber-restu.

Misteri ini,
Rupa-rupanya suatu rahsia.

Aku Sudah Penat.

Hari ini aku penat,
Aku mahu rehat.

Semalam sudah berlalu,
Bersama sendu dan pilu,
Bersama liku dan candu..

Walau semalam sudah pergi,
Dan keringat sudah kering di dahi,
Namun penatnya masih mengiringi.

Maka hari ini wahai sahabat,
Andai langit mahu runtuh,
Dan bumi  mahu terbelah,
Biarlah..

Aku mahu rehat,
Aku sudah penat.