20120309

Mentera

Aku seru kau motivasi, aku seru kau inspirasi, aku seru kau kreativiti!

Bersatu kamu menjadi mentera mantap, mengusir ngantukku di hadapan laptop.

Huarghhh....

Lidah Hilang Rasa

Mereka mula menjilat kata-kata 'jeneral' mereka hingga yang payau dan pahit pun dikatakan manis semuanya. Aku kira deria rasa lidah mereka mungkin sudah berkarat. Atau mungkin lidah mereka telah lama tiada, dipotong malaikat lantaran kerap berbohong.

20120308

Pendapat Yang Keliru.

Jika ada panas, ada hujan, ia umpama mendung.
Bukan di situ, bukan di sini,
Berlegar di dalam mimpi.

Jika boleh diumpamakan lagi, ia si ikan duyung.
Tidak boleh dimakan, tidak boleh dinikahi,
Berlegar antara hidup dan mati.

Seiring waktu,
Wajahnya beribu,
Tersembunyi di dalam lipatan ilmu.

20120307

Undur

Dia undur sekali lagi,
Buat sekian kali.

Namun undur kali ini,
Untuk esok nanti,
Dia bisa maju berlari.

Sibuk

Maaf, keroncong suara medan politik aku tak peduli. Walau firdausi yang kau janji, aku tak peduli.

Aku terlalu sibuk di sini. Bertawaf mengelilingi medan yang dipanggil hati.

Muntah

Mereka muntah kerana cuba minum secangkir kebijaksanaan. Mungkin perut mereka tidak lagi betah lantaran sudah terlalu biasa dengan kejahilan.

20120112

Topeng

Sekali lagi di mukabuku, melihat lontaran maki-makian kepada si fulan dan si fulan, yang mereka tidak pernah bersua muka. Bocah-bocah hingusan cuba menjadi hakim mahkamah budi.

Sekali lagi beralasan demi hukum tuhan, sedangkan realiti hanya demi totaliter ego diri. 

20120111

Marijuana

Dendang sang kiai itu di You-Tube, berkias kononnya gurindam syara'i. Sesekali menyelit lulucon dan kata sakti.

Maka bersorak seluruh jelata berjiwa kontang, yang bisa sahaja meneguk apa sahaja yang dihidang. Membuat sang kiai tersenyum riang.

Tanpa sedar, yang ditelan itu marijuana hijab ilmuan. Yang hanya mencipta seribu keliru dalam khayal dan angan.

20111021

Masalah

Masalah datang menyinggah menjadi tetamu tidak diundang. Kakinya ingin lari, namun hati suruh teguh berdiri. Jadi dia hadapi tetamu itu dengan akal ligat mencari solusi.

Dan apabila saat pulang sang tetamu, rupanya meninggalkan dia sesuatu, berupa ilmu dan kemahiran yang baru.

20111017

Hanya Picisan

Saban hari bersarapan dengan sesak bandaraya bersalut hingar-bingar ngauman kenderaan. Kemudian terperangkap pula di dalam kubikel kantor berdendangkan licik politik dan gosip terkini. Sakit mata, bingit telinga, tengit minda.

Namun sahabat, semuanya itu picisan jika jiwamu bertunjang semangat dan berpasak motivasi, hinggakan jelinganmu sahaja cukup membuatkan roma berdiri.

20111015

Dari Luar Pintu

Kerana benar, aku jadi berani. Tidak mungkin lagi goyah dengan permainan berbaur azali. Syarah tok dalang bersulam petikan kitab tua berbungkus manipulasi, bukan lagi momok buat aku. Rumah ideologi sempit tidak lagi menyesakkan kerana aku kini melihat dari luar pintu.

20111014

Ubat Tequila Mimpi

Walau pahit kutelan kebenaran ini,
Menjadi mujarobat penawar dari khayal tequila mimpi.
Mimpi yang bisa ranap dengan sapaan ringkas sang realiti.

20110923

Pesan

Bersama maksud dan makna, kugaul menjadi segenggam pesanan hati. Khas untuk kamu di sana yang kukira sedang merindui.

Pesanku, hidup dengan bahaduri walau laut bergelora dengan ombak meninggi. Sehingga nanti laut itu menjadi tenang, dan mempamirkan wajahnya yang damai dan hakiki.

Kehidupan umpama komedi, maka jangan takut untuk berani.

20110917

Gerak dan Destinasi

Gerak menuju destinasi, jika kau helang, terbanglah. Jika kuda, berlarilah. Jika ikan, berenanglah. Jika ular, menyusurlah. Andai gerakmu mengikut ilmu, minat, dan keupayaan diri, kejayaan akan menjadi destinasi yang pasti.

Ya, dengan izin pemilik segala gerak.

20110915

Biasan

Alam biasan hati. Jika hati tersenyum, maka alam juga tersenyum. Andai hati membenci, alam juga membenci. Alam umpama cermin, hati umpama perlaku. Alam mengajuk kerenah sang perlaku, tanpa gagal, tanpa kompromi.

Maka hati, bersinarlah umpama matahari. Biar alam juga terbias dengan sorot cahaya, menerangi kehidupan yang sekelumit ini.

20110914

Kisah Lalu

Sekarang langit girang, mentari riang, dan awan mengamit memori yang hilang. Memori tentang kisah lalu, di waktu ego inteligensia menguasai tingkah dan laku. Korup minda menjadi batu dan jiwa menjadi beku.

Semuanya umpama lelucon kini, buat aku tersenyum sendiri, lantaran ketololan diri. Moga hari-hari mendatang membawa sejuta kedewasaan buat aku dan semua.

20110913

Penawar

Moga kata-kata indah yang kutanam hari ini, tumbuh menjadi bunga sanubari. Supaya suatu hari nanti, takala terasa sakitnya rindu mahupun benci, dapat kau petik jadikan penawar, merawat segala luka di dalam hati.

Pilihan

Setiap hari jalan yang sama, jalan yang dipanggil kehidupan. Setiap hari juga ada simpang yang sama, simpang yang dipanggil 'pilihan'; pilihan antara ceria dan duka, pilihan antara sentosa dan sengsara.

Moga kita pilih simpang ceria, kita pilih simpang sentosa.

Selagi kita punya pilihan, selagi nyawa dikandung badan.

Pelangi

Dalam hati ada pelangi,
Cukup dengan 7 warna ini,
Cukup dengan 7 seni, 7 seri dan 7 kafi,
Tanpa perlu improvasi,
Tanpa perlu testimoni.

Dalam hati ada pelangi,
Moga kekal sepanjang hari.

20110907

Diam

Kata hati berdiam diri. Maka aku pinta ia berkata, tetapi ia hanya diam..

Aku mohon,
Diam..

Aku gesa..
Diam..

Aku desak,
Masih diam..

Kemudian aku paksa,
Akhirnya ia berkata:

"Aku mahu diam"