20200625

KUBUR RINDU

Rindu pada susuk bayangan,
Yang tak lagi wujud di alam nyata,
Terselit dalam lipatan kenangan,
Bersama seribu citra suka duka.
 
Sesalku tabur dilautan waktu,
Menjadi ombak nan bahana,
Hancur dan larut satu-persatu,
Bersama tenggelam mentari senja.

Rindu ini ku tanamkan, 
Bersama suka dan sendu,
Bersama janji & pengkhianatan,
Berkubur sepi kehujung waktu.

20200517

RAKAN AJAK JUMPA

Ada seorang rakan,
Sudah bertahun tak jumpa,
Katanya jom lepak makan,
Rupanya ajak join niaga.

Sembang pasal niaga,
Mampu untung juta-juta,
Boleh beli sebiji istana,
Berkereta mewah sini-sana.

Sembangnya bagai raja,
Hingga roti nan habis 2 keping,
Akhirnya minta aku belanja,
Sebab poketnya tengah kering.
 

20200429

GELAP BAYANG-BAYANG

Kenangan menyapa,
Umpama gelap bayang-bayang,
Bingit tanpa suara,
Memekik ia berulang-ulang.

Sendu tanpa ungkap,
Minda jauh melayang,
Bila jiwa terperangkap,
Oleh gelap bayang-bayang.

Harapan yang terkulai,
Bagai gelap bayang-bayang,
Membusuk jadi bangkai,
Entah bila akan hilang.

Dan bangkai itu,
Dalam gelap bayang-bayang,
Akhirnya kering dan berdebu,
Tinggal hanya tulang-belulang,
Berkubur ditimbus waktu.

20200320

COVID-19

Julung kali sejarah Malaysia,
Setiap warga bagai tentera,
Berjuang demi kesihatan diri,
Berkurung di rumah 14 hari.

Moga epidemik sebesar ini,
Bisa lenyap dan terhenti,
Dengan ikhtiar semudah ABC.

Keep calm and stay home. Everything will be ok. Amin.

Note: 20.03.2020. Hari ke-3 Perintah Kawalan Pergerakan. 1030 kes setakat ini.

20200216

SURAT RINDU

Hati menulis surat-surat rindu,
Dengan pena berdakwat pilu,
Seribu memori ditulis diungkit,
Berlonggok ia tinggi membukit.

Hati menulis surat-surat rindu,
Terbiar sepi mengumpul debu,
Reput ia perlahan-lahan,
Lantaran tiada alamat kiriman.

20200214

SEUKIR SENYUMAN

Seukir senyuman mampu menghijab gelodak emosi. Datang dengan ribuan tafsiran yang mungkin bawa pelbagai erti.

Seukir senyuman mungkin refleksi kedamaian jiwa. Namun mungkin juga sekadar topeng sembunyi lara.

Kerana memakai topeng senyuman jauh lebih mudah dari cuba menjelaskan mengapa hati ini berasa sedih dan hiba.

20200212

BAHAGIA YANG UTAMA

Pak tua menasihatkan,
Walau dimomok kefakiran,
Diugut seribu keaiban,
Atau terpinggir tanpa teman,
Tetap utamakan bahagia.

Walau redah jalan likuan,
Yang berturap paradigma murahan,
Sesak dengan hon-hon kejumudan,
Tetap utamakan bahagia.

Umpama menyusur jalan vertikal dalam arus horizontal, pastinya berlaku konflik akal dan spiritual.

Namun yang penting....

Tetap utamakan bahagia.

20200126

MAIN PONDOK

Anak kecil main pondok,
Jadi anak, jadi ayah, jadi atok,

Jadi si kaya, jadi si miskin,
Jadi pengikut, jadi pemimpin,

Jadi polis, jadi pencuri, 
Jadi itu dan jadi ini.

Namun bila senja datang,
Anak kecil dipanggil pulang,
Musnah maya dirangkul realiti,
Segala 'jadi' ternyata mimpi.

Kematangan bawa kesedaran,
Bahawa umur secebis ini,
Dengan segala babak penceritaan,
Hanya sekadar fiksyen fantasi.

Kesedaran bawa pembebasan,
Dari illusi harta dan kemegahan,
Dari penjara watak dan peranan,
Dalam pondok dipanggil kehidupan.


20200121

DUIT & KEBAHAGIAAN

Pak tua berkata,
Duit hanyalah angka,
Dan angka tidak punya penghujung.

Jika bahagiamu letak pada duit,
Maka kebahagian yang kau kejar,
Tidak akan punya penghujung.

Justeru pegang kebahagiaan dihati,
Jadi peneman hingga mati.

Manakala pegang duit ditangan,
Mudah untuk kau uruskan.

Hadir petaka sahsiah budi bila duit dan kebahagian bertukar tempat. Duit dihati memakan diri. Kebahagiaan ditangan terlepas lari.

20200120

FORMAT KOMPUTER DIRI

Cuba format komputer diri,
Upgrade software hati dan budi,
Delete semua document silam,
Mengusir segala virus dan spam.

Cuba format komputer diri,
Install segala program transformasi,
Bersih skrin monitor fikiran,
Biar hilang debu sesalan.

Cuba format komputer diri,
Selagi CPU tidak berhenti.
Walau sudah berulang kali,
Di hack virus melankoli.

20200115

PENGAJARAN DIRI

Perkara yang BOLEH diubah,
Mengajar diri jangan mengalah.

Perkara yang TAK BOLEH diubah,
Mengajar diri redha dan pasrah.

Perkara yang TAK PASTI,
Mengajar diri fikir dan teliti.

Moga pengajaran diri,
Bisa menemani,
Setiap denyut nadi,
Hingga nafas terhenti.
  

20200113

SECANGKIR KETENANGAN

Dendam dibuang,
Sejauh mata memandang,
Tanpa sisa dan bayang-bayang,
Hilang bersama lara dan walang.

Maaf dihamparkan,
Seluas darat dan lautan,
Demi hati mendambakan,
Secangkir ketenangan.

20200111

AWAN BERARAK

Kehidupan umpama awan,
Sentiasa berarak walau perlahan,
Bergumpal jadi pengalaman.

Yang itu telah berlalu,
Yang ini juga pasti akan berlalu,
Ditiup bayu waktu.

Kehidupan yang sebentar,
Beza tipis palsu dan benar,
Menanti bunga bahagia mekar,
Berharap selagi bumi berputar.

20200109

SEBOTOL WAKTU

Aku teguk sebotol waktu,
Mereda dendam dahulu,
Mencair harapan beku,
Menghapus sejuta sendu.

Benar kata orang,
Waktu merawat luka.
Namun parut takkan hilang,
Kekal kehujung nyawa.


20200104

MURAL

Warna-warna kehidupan yang datang silih berganti, dari hari kehari, dari tahun ke tahun, kini semuanya terpamir di dinding memori.

Menjadi mural pelbagai warna.

Menjadi mural pelbagai corak.

Mural yang dipanggil pengalaman.